
Laporan/foto: Greatest anak Tagel (Sarawak)
SERIAN, 6 Feb (MalaysiaAktif) –Al-Quran diangkat sebagai sumber rujukan utama ilmu serta panduan pembangunan insan sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak Kali Ke-65 yang berlangsung di sini pada Rabu.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata penghayatan terhadap al-Quran bukan sekadar tuntutan agama, malah menjadi asas pembentukan masyarakat berilmu yang mampu memacu kemajuan negeri.

Abang Johari ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak Kali Ke-65, menegaskan kepentingan Al-Quran sebagai sumber ilmu dan panduan pembangunan insan.
Menurut beliau, segala ilmu yang dituntut manusia boleh dirujuk dan dihayati melalui al-Quran seterusnya diaplikasikan dalam kehidupan termasuk dalam penerokaan bidang baharu demi kesejahteraan sejagat.
“Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri mengubahnya. Justeru, perubahan hanya dapat dicapai melalui penguasaan ilmu,” katanya ketika berucap merasmikan majlis tersebut.
Pada masa sama, beliau berkata kerajaan Sarawak kini turut memberi penekanan terhadap penguasaan ilmu baharu termasuk bidang astronomi dan aeroangkasa melalui penubuhan fakulti aeroangkasa di universiti milik kerajaan negeri.
Selain itu, katanya inisiatif pendidikan universiti percuma kepada anak Sarawak tanpa mengira kaum dan agama merupakan komitmen kerajaan dalam memastikan akses pendidikan yang inklusif dan saksama.

Antara hadirin yang memenuhi dewan sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak Kali Ke-65 yang berlangsung di sini, kelmarin.
Dalam pada itu, Ketua Kaum Kampung Riih Mawang, Rampai anak Dabang berkata penglibatan masyarakat bukan Islam dalam majlis berkenaan mencerminkan semangat perpaduan dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat majmuk di Sarawak.
Beliau turut menyifatkan pemilihan Bahagian Serian sebagai tuan rumah buat julung kalinya sebagai satu penghormatan kepada penduduk setempat.
Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran naskhah terjemahan al-Quran dalam bahasa Bidayuh Sadung dan Bidayuh Padawan sebagai usaha memperluas kefahaman terhadap kitab suci itu dalam kalangan masyarakat tempatan.
-RJ-





