
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sarawak)
SRI AMAN, 6 Feb (MalaysiaAktif) – Skuad tinju Sri Aman memulakan kempen Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 dengan sasaran jelas untuk memburu pingat emas, memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman yang membuka tirainya semalam.
Pasukan bimbingan Ketua Jurulatih Kamaruddin Mohamad itu mempertaruhkan 11 petinju terbaik selepas melalui proses saringan dan latihan intensif sebagai persediaan menghadapi cabaran hingga Ahad ini.
Beliau berkata strategi pasukan kali ini memberi penekanan kepada peningkatan kepantasan, ketahanan dan disiplin taktikal bagi menyaingi kekuatan petinju dari zon lain.
Beliau turut meletakkan harapan kepada beberapa atlet berpengalaman termasuk Nelson Nankai, Jackson Daniel dan Muhammad Irfan Mohamad Ishak untuk memacu kejayaan pasukan.

Sebelas petinju harapan Sri Aman bergambar bersama Pengurus Pasukan, Joseph Ak Harry (berdiri, tengah) sebagai simbol kesediaan menghadapi cabaran acara tinju SUKSAR IV 2026.
Pengurus pasukan, Joseph Ak Harry berkata persiapan rapi merangkumi aspek fizikal, taktikal serta kekuatan mental menjadi fokus utama bagi memastikan pasukan berada pada tahap terbaik.
“11 atlet yang dipilih telah melalui latihan menyeluruh dan saringan ketat. Sasaran kami adalah untuk mengekalkan emas di gelanggang sendiri serta mengharumkan nama Sri Aman,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, Muhammad Irfan, 17, yang beraksi dalam kategori 57 kilogram (kg) dan mengetuai bacaan ikrar atlet pada majlis perasmian, menyifatkan sokongan penyokong tempatan sebagai pembakar semangat utama.

Muhammad Irfan, diberi penghormatan mengetuai bacaan ikrar atlet pada Majlis Perasmian SUKSAR IV 2026 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman, semalam.
“Beraksi di hadapan penyokong sendiri memberi motivasi tambahan untuk melangkah ke peringkat akhir dan memburu emas,” katanya.
Skuad tinju Sri Aman membariskan lapan petinju lelaki dan tiga wanita yang akan bersaing dalam pelbagai kategori berat, sekali gus meletakkan pasukan tuan rumah sebagai antara pencabar utama dalam acara tinju edisi kali ini.
Kejohanan selama empat hari itu dijangka menarik kehadiran penyokong sukan tempur dari seluruh zon bagi menyaksikan persaingan sengit merebut kejuaraan keseluruhan.
-RJ-





