Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Lawatan Tahun Baharu Cina Perkukuh Perpaduan di Penjara Sri Aman

By 6 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Iswandi Kassim (Sarawak)

SRI AMAN, 6 Feb (MalaysiaAktif) – Semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Bahagian Sri Aman terus diperkukuh menerusi lawatan kebajikan Lembaga Hakim Pelawat Penjara Sarawak ke Penjara Pusat Sri Aman, di sini sempena sambutan Tahun Baharu Cina, hari ini.

Lawatan diketuai Pegawai Daerah Sri Aman merangkap Pengerusi Lembaga Hakim Pelawat Penjara Shariff Bujang sebagai tanda keprihatinan dan penghargaan terhadap warga penjara yang terus komited melaksanakan tugas walaupun di musim perayaan.

Sebagai simbolik sambutan, beliau menyampaikan limau mandarin kepada anggota bertugas sebagai tanda penghargaan atas dedikasi mereka dalam memastikan keselamatan serta kelancaran operasi penjara.

Dalam ucapannya, Shariff menegaskan keharmonian dan perpaduan yang dinikmati di Sarawak merupakan nilai penting yang perlu terus dipelihara oleh semua lapisan masyarakat.

“Perpaduan dan keharmonian Sarawak adalah contoh kepada seluruh rakyat Malaysia. Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan nilai ini terus terpelihara demi kesejahteraan bersama,” katanya.

Turut hadir, ahli Lembaga Hakim Pelawat Penjara, Temenggong Kueh Aik Seng, yang menyifatkan inisiatif seperti ini amat bermakna dalam meningkatkan semangat serta motivasi warga penjara, khususnya ketika musim perayaan.

Menurutnya, pemberian limau mandarin bukan sekadar mengikut tradisi masyarakat Cina malah simbolik kesejahteraan dan keberkatan sebagai doa kepada semua, di samping memberi suntikan moral kepada warga penjara yang berasa dihargai serta disokong oleh masyarakat luar.

Penjara Pusat Sri Aman diwakili oleh Timbalan Pengarah Penjara, Awang Azizzan Hasbi dan Penolong Penguasa Penjara, Andrew Mohamad Bukong.

Shariff Bujang (tengah) bersama Temenggong Kueh Aik Seng (tiga dari kanan) menyerahkan kotak limau mandarin kepada Awang Azizzan (empat dari kiri) sebagai tanda penghargaan buat warga penjara sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Hadir sama, wakil Persatuan Bimbingan Agama Buddha Malaysia Bahagian Sri Aman, Law Yew Hup bersama ahli jawatankuasanya.

Lawatan tersebut mencerminkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memupuk nilai kebersamaan, saling menghormati serta memperkukuh hubungan harmoni antara komuniti dan institusi awam di Sarawak.

-RJ-

Tinggalkan komen anda