
Laporan/foto: Mazlan Bakar / Mustapha Bacho (Nabawan)
NABAWAN, 7 Feb (MalaysiaAktif) – Karnival Sukan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Keningau Peringkat Bahagian Keningau menjadi platform penting mengeratkan hubungan antara peserta Orang Kurang Upaya (OKU), ibu bapa, kakitangan serta ahli jawatankuasa PPDK dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Nabawan.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Dickson Andipai berkata program seumpama ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan kekeluargaan malah meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan sokongan berterusan kepada golongan insan istimewa.
“Golongan OKU memerlukan perhatian dan sokongan daripada semua pihak bagi memastikan mereka menjalani kehidupan bermasyarakat secara harmoni. Kami mengalu-alukan lebih banyak program yang memberi peluang kepada mereka berinteraksi, membina keyakinan diri dan menikmati kehidupan yang saling menyokong,” katanya ketika merasmikan karnival di Dewan Serbaguna Nabawan, di sini pada Khamis.

PPDK Daerah Keningau muncul sebagai juara keseluruhan Karnival Sukan OKU PPDK Bahagian Keningau 2025/2026.
Beliau turut menekankan bahawa golongan OKU mempunyai pelbagai potensi dan kebolehan tersendiri yang boleh diketengahkan dengan bimbingan dan sokongan berterusan.
“Mereka mampu menguasai kemahiran tertentu dan mencapai kejayaan yang diimpikan. Kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan amat diperlukan bagi menganjurkan program yang memberi manfaat serta suntikan semangat kepada golongan ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PPDK Lucky Jimmy berkata karnival bertujuan memperkukuh kerjasama dan hubungan baik antara warga PPDK, kakitangan dan ahli jawatankuasa sambil menyediakan ruang aktiviti bersama pelatih dan ibu bapa.

Lucky Jimmy menyampaikan ucapan alu-aluan, menekankan nilai kerjasama dan sokongan terhadap golongan OKU sepanjang karnival.
“Program ini menekankan kesamaan peluang tanpa mengira keupayaan. Nilai murni seperti kasih sayang, saling membantu dan bekerjasama turut diterapkan bagi melahirkan komuniti PPDK yang prihatin, sejahtera dan berdaya tahan,” katanya.
-RJ-





