
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sarawak)
LINGGA, 8 Feb (MalaysiaAktif) – Said Amit secara rasmi dipilih sebagai Ketua Kaum Kampung Melayu Bakong selepas memenangi sesi pemilihan yang berlangsung di Gelanggang Futsal Kampung Melayu Bakong, petang semalam.

Said Amit dipilih sebagai Ketua Kaum Kampung Melayu Bakong dengan kemenangan tipis 71 undi berbanding 70 undi.
Proses pemilihan yang mengamalkan prosedur telus dan teratur itu melibatkan penglibatan aktif penduduk kampung bagi menentukan kepimpinan untuk penggal akan datang.
Keputusan rasmi menyaksikan Said memperoleh 71 undi, menewaskan pencabarnya, Rahman Meludin, dengan majoriti tipis satu undi sahaja.
Pegawai Daerah Lingga, Frank Lani, yang menyaksikan pemilihan, berkata proses berkenaan berjalan lancar dan mematuhi semua peraturan.
Beliau menekankan bahawa penyertaan penduduk yang menggalakkan menunjukkan amalan demokrasi di peringkat akar umbi terus subur dan matang.

Penerangan ringkas oleh Pegawai Daerah Lingga, Frank Lani sebelum proses pengundian bermula.
“Saya berharap kepimpinan baharu dapat menjaga kebajikan dan keharmonian penduduk serta memainkan peranan berkesan dalam pembangunan kampung,” katanya.
Said menzahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan oleh penduduk dan menegaskan jawatan Ketua Kaum adalah amanah besar yang perlu digalas dengan integriti dan keikhlasan.
Beliau berhasrat memajukan kampung melalui kerjasama rapat dengan wakil rakyat, Pusat Khidmat ADUN, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan lain.
-RJ-





