Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Program Sejambak Kasih Sumbang 300 Bakul Makanan di Sri Aman

By 9 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sarawak)

SRI AMAN, 9 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 300 penduduk kurang berkemampuan menerima sumbangan bakul makanan menerusi Program Sejambak Kasih anjuran Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Sri Aman, di sini kelmarin.

Setiausaha Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Sri Aman, Tay Cho Seng berkata program tahunan itu dilaksanakan bagi membantu golongan memerlukan khususnya menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

Menurut Tay, penerima terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah, warga emas serta individu kurang bernasib baik bagi memastikan mereka turut merasai kemeriahan perayaan.

Tay Cho Seng (kanan sekali) pada Program Sejambak Kasih yang menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada warga emas dan keluarga berpendapatan rendah di Sri Aman sempena sambutan Tahun Baharu Cina, kelmarin.

“Dengan bantuan ini, sekurang-kurangnya golongan kurang bernasib baik tidak dilupakan kerana setiap perayaan yang menggembirakan wajar mengingati mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Beliau berkata program tersebut mencerminkan komitmen pertubuhan dalam menyemai nilai keprihatinan serta semangat saling membantu dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di daerah itu.

Tambahnya, pihak pertubuhan turut meneliti dan mengemas kini senarai penerima dari semasa ke semasa bagi memastikan bantuan disalurkan secara adil dan berkesan kepada golongan sasaran.

-RJ-

Tinggalkan komen anda