
Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin (Pekan)
PEKAN, 9 Feb (MalaysiaAktif) – Sebanyak 62 masjid, 11 Surau Kebenaran Solat Jumaat dan 159 surau di sekitar Parlimen Pekan menerima sumbangan keseluruhan bernilai RM152,500 pada Majlis Mahabbah Ramadan Penyerahan Sumbangan Imarah Masjid dan Surau Parlimen Pekan bagi tahun 2026, di sini kelmarin.

Sh Mohmed Puzi, ketika berucap, turut menitipkan pesanan kepada penerima agar sumbangan diterima, digunakan sebaik mungkin.
Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali berkata sumbangan itu merupakan usaha berterusan dalam memperkukuh peranan institusi masjid dan surau sebagai pusat ibadah, dakwah serta perpaduan ummah khususnya sepanjang bulan Ramadan.
“Sumbangan tersebut diharap dapat membantu pihak pengurusan masjid dan surau melaksanakan pelbagai program pengimarahan Ramadan termasuk aktiviti keagamaan, kebajikan serta kemasyarakatan yang memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut, di sini kelmarin.
Salah seorang penerima sumbangan yang juga merupakan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad, Abdullah Sani Osman berkata sumbangan yang diterima amat bermakna dalam menyokong aktiviti surau sekolahnya sepanjang Ramadan.

Pengetua SMK Sultan Ahmad, meluahkan rasa syukur atas sumbangan yang diberikan Ahli Parlimen Pekan.
“Sumbangan ini amat kami hargai dan akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkasa program kerohanian pelajar serta mengimarahkan surau sekolah sebagai pusat pembentukan sahsiah dan nilai murni,” katanya.
Penyerahan sumbangan tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan Ahli Parlimen Pekan dalam menyantuni institusi keagamaan serta memperkukuh semangat kebersamaan dan keharmonian masyarakat setempat.
-RI






