
Laporan/foto: Sumardi Sugiman/Randy Achang Wiliiam (Sarawak)
LIMBANG, 9 Feb (MalaysiaAktif) – Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baharu Cina Daerah Limbang 2026 berlangsung meriah dengan penglibatan aktif tujuh persatuan komuniti Cina, ketua-ketua jabatan serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), di sini kelmarin.
Persatuan terlibat ialah Persatuan Chinese Chamber of Commerce Daerah Limbang, Gabungan Persatuan-Persatuan Cina Bahagian Limbang, Persatuan Hockien Limbang, Foochow Association Limbang, Persatuan Hakka Limbang, Persatuan Hin Hua Limbang dan Persatuan Vui Neng Limbang.

Paulus ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baharu Cina Daerah Limbang 2026 di Purnama Hotel Limbang, kelmarin.
Majlis disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang yang menyampaikan sumbangan kepada penerima, termasuk warga emas, golongan orang kelainan upaya (OKU) dan keluarga kurang berkemampuan seramai 200 orang.
Dalam ucapannya, Paulus yang mewakili Timbalan Premier Sarawak, Menteri Kedua Sumber Asli dan Pembangunan Bandar serta Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata program itu mencerminkan keprihatinan kerajaan serta usaha memperkukuh keharmonian berbilang kaum di daerah Limbang.
“Majlis ini meriah kerana kita saling menghormati antara satu sama lain, hidup harmoni dan bersatu padu. Sumbangan ini diharap meringankan beban penerima serta mengeratkan perpaduan kaum,” katanya.

Paulus menyerahkan sumbangan kepada penerima termasuk warga emas, golongan OKU dan keluarga kurang berkemampuan.
Paulus turut mendoakan Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 membawa kebahagiaan, kesejahteraan dan kemakmuran kepada semua selain menekankan komitmen kerajaan Sarawak menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat dan mempergiat pembangunan infrastruktur bagi kesejahteraan masyarakat.
Turut hadir, Setiausaha Politik Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Setiausaha Eksekutif Pusat Khidmat ADUN Bukit Kota Roslan Abdul Rahman, serta Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal bersama ketua-ketua jabatan dan KMKK daerah Limbang.
-RJ-






