
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sarawak)
SIMANGGANG, 9 Feb (MalaysiaAktif) – Dua atlet berbasikal muda Sarawak masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan Harapan dan Olahragawati Harapan pada temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 yang berakhir di sini, semalam.
Zhen Xiang Kenny Lim dari Zon Selatan dan Nur Ain Ramadhania Abdullah dari Zon Barat menerima pengiktirafan tersebut selepas masing-masing meraih empat pingat emas dalam acara yang disertai.

Nur Ain Ramadhaniah (kiri) dan Zhen Xiang Kenny Lim (kanan) mempamerkan trofi pada Majlis Penangguhan SUKSAR IV 2026 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman selepas masing-masing menyapu bersih empat pingat emas, sekali gus menyerlahkan dominasi sukan berbasikal di Sarawak.
Nur Ain Ramadhania mengungguli kategori wanita menerusi acara Women Criterium, Women Individual Time Trial, Women Individual Road Race dan Women Team Road Race.
“Saya amat bersyukur dengan pengiktirafan ini. Ia menjadi pembakar semangat untuk saya terus berlatih dengan lebih disiplin dan meningkatkan prestasi pada masa akan datang,” katanya selepas Majlis Penangguhan SUKSAR IV 2026 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman, di sini.
Dalam kategori lelaki, Zhen Xiang Kenny memenangi acara Individual Road Race, Team Road Race, Individual Time Trial dan Team Time Trial.
Menurutnya, anugerah itu menjadi motivasi untuk terus meningkatkan prestasi dan bersaing ke peringkat lebih tinggi.
Anugerah disampaikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
SUKSAR IV 2026 terus berperanan sebagai platform mencungkil bakat baharu sukan negeri, khususnya dalam acara berbasikal yang semakin mendapat perhatian di Sarawak.
-RJ-





