
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sarawak)
SRI AMAN, 9 Feb (MalaysiaAktif) – Zon Barat menepati ramalan apabila muncul juara keseluruhan acara sepak takraw pada temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026, sekali gus membuktikan keberkesanan pembangunan pemain muda yang dilaksanakan zon tersebut.
Kejayaan itu diraih menerusi prestasi konsisten dalam beberapa kategori utama, termasuk penguasaan acara Bergu Double Wanita apabila Zon Barat A meraih emas manakala Zon Barat B memenangi perak. Zon Barat turut merangkul emas dalam kategori Kuadrant Wanita.
Dalam kategori lelaki, Zon Barat A menyumbang emas menerusi acara Bergu Double Lelaki selain meraih perak dalam acara Regu Wanita dan Kuadrant Lelaki.
Presiden Persatuan Sepak Takraw Bahagian Sri Aman Awangku Hafizi Awang Azahari berkata kejayaan tersebut membuktikan strategi pembangunan pemain muda yang dirancang sejak awal membuahkan hasil.
“Walaupun majoriti pemain merupakan muka baharu, mereka menunjukkan disiplin dan semangat berpasukan tinggi sepanjang kejohanan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sementara itu, Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh berkata pencapaian tersebut memperlihatkan potensi Sri Aman sebagai antara pencabar utama dalam sukan sepak takraw di Sarawak.
Beliau turut menggalakkan pasukan terus menyertai kejohanan luar bagi mematangkan pemain dan mengekalkan momentum kecemerlangan pada masa hadapan.
-RJ-





