
Laporan/foto: Stanley Clarence Eddie (Sri Aman)
SRI AMAN, 11 Feb (MalaysiaAktif) – Temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 yang berlangsung di Bahagian Sri Aman dan Betong, baru-baru ini bukan sahaja menjadi medan persaingan atlet, malah berperanan sebagai pemangkin ekonomi setempat dan platform menyatukan masyarakat pelbagai kaum.
KK Shaibi Bakir, 68, salah seorang pengunjung Majlis Penutupan SUKSAR IV di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman, di sini berkata temasya itu membuka peluang ekonomi kepada penduduk tempatan, termasuk penyediaan homestay dan gerai makanan kepada pengunjung luar.
“Para peniaga dapat memasarkan produk tempatan dan menyediakan makanan sepanjang pertandingan, sekali gus meningkatkan pendapatan mereka,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, kelmarin.
Bagi KK Mustapha Tugo, 59, SUKSAR IV membawa makna lebih mendalam selain aspek ekonomi. Beliau melihat acara ini sebagai wadah menyemai perpaduan antara kaum dan budaya, menyatukan peserta dan penonton dari seluruh Sarawak dalam satu semangat sukan yang teguh.

Mustapha berkongsi pandangan tentang impak perpaduan yang terjalin melalui pertandingan SUKSAR IV 2026 semasa ditemu bual di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman.
“Pertandingan antara zon bukan sahaja melahirkan atlet, malah memperkukuh ikatan silaturahim antara masyarakat majmuk,” ujarnya.
Dengan impak ekonomi yang nyata dan semangat perpaduan yang terjalin, SUKSAR IV 2026 membuktikan kejayaan temasya sukan ini lebih daripada sekadar perlumbaan atau pingat, malah menjadi platform pembangunan bakat, ekonomi setempat dan penyatuan masyarakat di Sarawak.
-RJ-





