
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Hendry Nurdin (Tawau)
TAWAU, 10 Feb (MalaysiaAktif) – Penjawat awam di daerah ini diseru memperkukuh kecekapan, integriti dan koordinasi antara jabatan bagi memastikan setiap pelan pembangunan kerajaan memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Nizam tekankan kecekapan, integriti dan Pelan SMJ 2.0 untuk manfaat masyarakat Tawau.
Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata kerajaan negeri telah menetapkan hala tuju menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang menumpukan pembangunan modal insan, kesejahteraan rakyat, infrastruktur dan kelestarian hijau.
“Rakyat menilai kerajaan berdasarkan pengalaman harian mereka. Justeru, setiap agensi perlu lebih proaktif dan bersepadu supaya aduan tidak berlarutan,” katanya ketika berucap pada Majlis Jamuan Makan Tengah Hari bersama pegawai kanan penjawat awam daerah Tawau, di sini hari ini.
Menurut Nizam, antara projek strategik yang sedang dilaksanakan ialah naik taraf Lapangan Terbang Tawau bernilai RM130 juta yang dijangka siap pada 2028 serta pembangunan Pusat Kebudayaan Antarabangsa Tawau (TICC).
Beliau berkata cadangan pembinaan Tawau Bypass, jejambat di Bulatan Keris dan kawasan Takada serta Tawau Coastal Highway kini dalam kajian kebolehlaksanaan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Tambahnya, kejayaan perancangan pembangunan bergantung kepada pelaksanaan berkesan di peringkat lapangan termasuk menangani isu bekalan air, elektrik, jalan raya dan keselamatan komuniti.
-RJ-





