
Laporan: Aini/Anuar Che Amat
KANGAR, 10 Feb (MalaysiaAktif) — Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis terus komited memastikan pengurusan sumber air dan sistem saliran negeri dilaksanakan secara berkesan bagi menjamin keselamatan rakyat serta kelestarian alam sekitar.
Pengarahnya, Amir Budiman Abdullah berkata pihaknya berperanan sebagai agensi teknikal dalam merancang, melaksana dan menyelenggara pengurusan sungai, saliran serta projek tebatan banjir di samping memantau empangan dan kawasan tadahan air.
“Langkah ini penting bagi mengurangkan risiko banjir terutamanya semasa musim hujan lebat,serta memastikan sumber air negeri sentiasa mencukupi dan terpelihara,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini baru-baru ini.
Beliau berkata JPS Perlis turut menggunakan teknologi moden seperti sistem telemetri bagi memantau paras air sungai secara masa nyata serta melaksanakan penyelenggaraan berkala bagi memastikan sistem saliran sentiasa berfungsi dengan baik.
Pada masa sama, penglibatan komuniti dan kesedaran awam juga katanya terus diperkasa bagi memupuk tanggungjawab bersama dalam menjaga sungai dan saliran demi kesejahteraan rakyat di negeri berkenaan.
-FN





