Skip to main content
Berita TempatanFokusSARASarawak

SARA Ringankan Beban Rakyat Song

By 11 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Muhammad Danial Zakwan/Hamzah Bohari

SONG, 11 Feb (MalaysiaAktif) – Pelaksanaan pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) secara one-off bermula kelmarin disambut baik penduduk di daerah Song yang melihat inisiatif tersebut sebagai langkah proaktif kerajaan dalam meringankan kos sara hidup serta memperkukuh kesejahteraan rakyat.

Di daerah berkenaan, majoriti penduduk yang bergantung kepada sektor perkhidmatan awam, perniagaan kecil serta aktiviti pertanian dan perikanan menyifatkan bantuan tersebut sebagai amat membantu dalam menampung perbelanjaan asas seperti pembelian barangan dapur, keperluan persekolahan anak-anak dan kos pengangkutan.

Seorang penduduk tempatan, Zainal Nasir, 55, menyifatkan bantuan itu sebagai “suntikan semangat” dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.

Menurutnya, bantuan one-off berkenaan sedikit sebanyak membantu mengurangkan tekanan perbelanjaan bulanan keluarganya.

“Sekurang-kurangnya dapat tampung perbelanjaan barang dapur dan keperluan harian keluarga,” ujarnya ketika ditemui di pekan Song, semalam.

Sementara itu, peniaga kecil, Sudin Bandau, 54, berpandangan inisiatif tersebut mampu menjadi pemangkin kepada peningkatan perbelanjaan pengguna tempatan.

Beliau yang mengusahakan perniagaan runcit di pekan Song berkata aliran tunai tambahan dalam kalangan masyarakat dijangka merancakkan aktiviti ekonomi setempat sekali gus memberi manfaat kepada sektor peruncitan dan perkhidmatan.

Pelaksanaan SARA one-off ini diharap dapat memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara serta memastikan tiada golongan tercicir daripada menerima bantuan sewajarnya, dengan masyarakat di daerah Song khususnya digalakkan memanfaatkan bantuan tersebut sebaik mungkin demi kesejahteraan bersama.

-FN

Tinggalkan komen anda