Skip to main content
Rencana & Pendapat

Penanaman Padi Kian Hilang Ditelan Zaman

By 11 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nyempal Inggang (Sarawak)

LUBOK ANTU, 11 Feb (MalaysiaAktif) – Penanaman padi secara sara diri yang suatu ketika dahulu menjadi nadi kehidupan masyarakat rumah panjang di daerah ini kini semakin berkurangan dan kian dipinggirkan arus pembangunan.

Sudan mengenang kembali aktiviti menanam padi yang menjadi nadi kehidupan dahulu.

Aktiviti yang dahulunya menjadi simbol kebersamaan dan sumber utama makanan keluarga kini semakin pudar apabila banyak kawasan sawah bertukar fungsi kepada tanaman komersial lain seperti kelapa sawit.

Seorang petani, Sudan Gembar, 65, berkata pada masa lalu, penduduk akan bangun seawal Subuh dan berjalan jauh ke sawah untuk mengusahakan padi.

“Dulu sawah menjadi tempat kami berkumpul dan bekerja bersama. Sekarang banyak yang terbiar,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Mawan Alam, 57, berkata pelbagai cabaran menyebabkan generasi muda kurang berminat meneruskan tradisi itu termasuk kos pengeluaran yang tinggi, pulangan tidak menentu serta perubahan corak ekonomi.

Mawan Alam mengulas faktor kos dan pulangan yang menyukarkan anak muda meneruskan tradisi penanaman padi.

“Ramai anak muda melihat pertanian kurang menjamin masa depan berbanding pekerjaan lain,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan faktor perubahan iklim dan ketidaktentuan cuaca memberi kesan terhadap hasil tuaian, sekali gus meningkatkan risiko kepada petani kecil.

Menurut laporan berkaitan sektor pertanian, tahap pengeluaran beras tempatan masih belum mencukupi untuk menampung sepenuhnya keperluan domestik, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan makanan negara.

Kehilangan aktiviti penanaman padi bukan sahaja memberi kesan kepada ekonomi, malah turut menjejaskan warisan budaya dan identiti masyarakat setempat yang diwarisi turun-temurun.

Namun demikian, usaha memperkenalkan teknologi pertanian moden, bantuan dan insentif kerajaan serta penglibatan generasi muda melalui konsep pertanian pintar dilihat mampu menghidupkan semula sektor ini.

Penanaman padi tidak seharusnya dilihat sebagai lambang kemunduran, sebaliknya sebagai simbol kedaulatan makanan dan warisan yang perlu dipelihara.

Masa depan tradisi ini kini bergantung kepada kesediaan generasi baharu untuk meneruskan legasi yang pernah menjadi asas kehidupan masyarakat luar bandar.

-RJ-

Tinggalkan komen anda