
Laporan/foto: Allyshia. L (Kuantan)/Siti Maziah (Pahang)
KUANTAN, 12 Feb (MalaysiaAktif) – Ketibaan dua set tren iaitu Golden Tren Electric Multiple Unit (EMU) dan Electric Locomotive (E-Loco) bagi projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) merupakan simbol kemajuan teknologi rel moden serta kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh sistem pengangkutan awam negara yang lebih selamat, cekap dan mesra alam.

Majlis perasmian peluncuran Golden Tren Electric Multiple Unit (EMU) dan Electric Locomotive (E-Loco) Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Stesen ECRL KotaSAS
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata sebelum ini dua set tren EMU dan dua buah E-Loco telah selamat tiba di Malaysia, hujung tahun lalu.
“Hari ini, projek ECRL sekali lagi mencatat satu mercu tanda penting dengan ketibaan dua set tren EMU dan dua E-Loco yang pertama di Malaysia. Tren ini dikilangkan oleh China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC) Dalian di China, hanya dihantar ke negara ini selepas berjaya melalui ujian komprehensif serta Factory Acceptance Test yang disahkan oleh MRL.
“Pengoperasian komersial tren EMU dan E-Loco yang dijadualkan bermula Januari 2027 bakal membuka lembaran baharu dalam memperkukuh ECRL. Ia sebagai mod pengangkutan hijau untuk penumpang dan kargo, merentasi rangkaian rel elektrik sepanjang 665 kilometer melalui negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran khas Ketibaan Golden Tren EMU dan E-Loco di Stesen KotaSAS, di sini semalam.

Sebahagian pengamal media yang turut dibawa menaiki tren dari stesen KotaSAS ke stesen Kuantan Port City
Untuk rekod, projek ECRL telah memperuntukkan sebanyak 11 set tren EMU enam gerabak bagi perkhidmatan penumpang serta 12 buah E-Loco untuk tujuan kargo daripada syarikat CRRC Dalian.
Pembinaan Projek ECRL sepanjang 665 kilometer kini telah mencatat kemajuan keseluruhan sebanyak 91.7 peratus setakat Januari 2026, selari dengan jadual penyiapan jajaran Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak menjelang akhir tahun ini dan pengoperasian komersial bermula Januari 2027.
-AA-





