Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

15 Barangan Kawalan Di Bawah SHMMP Sempena Tahun Baharu Cina

By 13 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Akmar Zulkifli (Pahang)/KPDN Negeri Pahang

KUANTAN, 13 Feb (MalaysiaAktif) – Sebanyak 15 barangan kawalan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) dipantau menjelang sambutan Tahun Baharu Cina minggu hadapan.

Pemantauan harga berlangsung selama sembilan hari berkuatkuasa pada hari ini sehingga 21 Feb iaitu empat hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan empat hari selepas perayaan.

Sim Chon Siang memotong riben sebagai simbolik perasmian sesi walkabout dan pemantauan pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina 2026 Peringkat Negeri Pahang

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Pahang, Sim Chon Siang, berkata pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina 2026 kali ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa bagi memastikan keseimbangan kepentingan pengguna dan peniaga.

Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan, manakala peniaga tidak terbeban dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama.

“Penetapan senarai barangan, paras harga maksimum serta tempoh pelaksanaan skim adalah berdasarkan pelbagai faktor, antaranya tahap ketersediaan bekalan, kos semasa, keadaan cuaca, kadar upah dan faktor-faktor lain yang berkaitan.

“Penentuan harga juga dibuat setelah mengambil kira pandangan daripada agensi-agensi kerajaan dan pemain-pemain industri,” katanya pada sesi turun padang bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang di sebuah pasar raya, di sini hari ini.

Tambahnya lagi, sepanjang pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina 2026, barangan yang terlibat akan dilabelkan dengan tanda harga berwarna merah jambu bagi memudahkan pengguna mengenal pasti barangan yang dikawal di bawah skim ini.

KPDN turut meningkatkan kehadiran pegawai-pegawai penguat kuasa di lokasi-lokasi terpilih dan strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah sempena musim perayaan ini bagi membolehkan tindakan segera diambil sekiranya terdapat sebarang aduan atau ketidakpatuhan daripada peniaga sekali gus memastikan pematuhan undang-undang serta melindungi hak dan kepentingan pengguna.

“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” tegasnya.

-AA-

Tinggalkan komen anda