
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 13 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 41 ketua isi rumah (KIR) bersama ahli keluarga yang terjejas dalam insiden kebakaran di Kampung Orang Asli Teluk Jawa semalam, telah dipindahkan sepenuhnya ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Muafakat Taman Megah Ria.

Tok Batin, Awie Mee (kiri) menunjukkan lokasi rumahnya yang hangus dijilat api dalam kejadian kebakaran semalam
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Johor Dato’ Zahari Sarip berkata walaupun hanya 30 buah rumah yang musnah dalam kejadian tersebut, baki 11 rumah yang berdekatan turut dikosongkan atas faktor keselamatan.
“Semua penduduk yang dipindahkan dikelolakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). Saya difahamkan ramai pihak ingin menyumbang, jadi sumbangan boleh disalurkan kepada Pejabat Daerah Johor Bahru untuk diselaraskan.
“Kita tidak mahu ada pihak menyampaikan bantuan tanpa pengetahuan pihak berkuasa. Contohnya jika melibatkan makanan, bimbang berlaku keracunan. Begitu juga sumbangan barangan, biarlah yang masih boleh digunakan,” katanya ketika ditemui selepas melawat lokasi kejadian, di sini hari ini.

41 ketua isi rumah bersama ahli keluarga terjejas kebakaran Kampung Orang Asli Teluk Jawa dipindahkan ke PPS Dewan Muafakat Taman Megah Ria
Terdahulu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang Timbalan Penguasa Bomba II Firdaus Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.14 pagi dan kebakaran memusnahkan 30 rumah.
Sementara itu, Tok Batin Orang Asli Seletar Kampung Teluk Jawa, Awie Mee, 43, berkata beliau kehilangan semua peralatan serta barangan peribadi apabila rumahnya terbakar hangus.
“Kejadian sebegini tidak pernah berlaku. Jadi, kami minta bantuan untuk meneruskan kehidupan, terutama bagi membina semula rumah yang telah musnah dengan segera,” katanya yang kini tinggal sehelai sepinggang bersama lima ahli keluarga.
-AA-





