Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

CSR Ambang Ramadan DUN Peramu Jaya Santuni 200 Penerima

By 14 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin (Pekan)

PEKAN, 14 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 200 penerima daripada golongan memerlukan mendapat sumbangan persiapan menyambut Ramadan sempena Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Ambang Ramadan Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya yang berlangsung di Pantai Lagenda, di sini semalam.

Mohamad Nizar menzahirkan terima kasih kepada KLAU Developments Sdn Bhd kerana berkongsi rezeki dengan penduduk Peramu Jaya

Program anjuran bersama KLAU Development Sdn Bhd telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Datuk Mohamad Nizar Najib, ADUN yang menzahirkan rasa syukur kerana dapat bersama-sama menyantuni masyarakat menjelang ketibaan bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Mohamad Nizar berkata, inisiatif seumpama ini amat bermakna dalam meringankan beban golongan sasar di samping menyemai nilai kebersamaan, kasih sayang dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat.

“Program ini bukan sahaja membantu dari sudut material, malah mengukuhkan hubungan silaturahim antara pihak swasta dan komuniti setempat,” katanya.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak KLAU Development Sdn Bhd atas komitmen berterusan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat demi kesejahteraan rakyat di kawasan DUN Peramu Jaya.

Datin Sharmila isteri wakil rakyat Peramu Jaya turut hadir menyantuni para penerima

Sementara itu, salah seorang penerima sumbangan, Fatimah Uda, 56 melahirkan rasa syukur dan terharu atas bantuan yang diterima.

“Alhamdulillah, bantuan ini amat bermakna buat saya dan keluarga.Sekurang-kurangnya dapat meringankan perbelanjaan dapur dan memberi kelegaan untuk menyambut bulan puasa,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif.

Program berkenaan diharap menjadi asbab keberkatan dan contoh kepada lebih banyak pihak korporat untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan sosial masyarakat.

-AA-

Tinggalkan komen anda