
Laporan/foto: Nur Farhana Azman/Facebook Ab Rauf Yusoh
JASIN, 14 Feb (MalaysiaAktif) – Majlis Perasmian Projek Membina Jalan Baharu dari Persimpangan Rim ke Persimpangan Kampung Ulu Jasin bertempat di perkarangan projek Persimpangan Kerayong, telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, petang semalam.

Sesi menandatangani plak perasmian
Menurut Ab Rauf Yusoh, pembukaan jalan baharu sepanjang 3.45 kilometer melibatkan peruntukan RM35.2 juta dari persimpangan Rim ke persimpangan Kampung Ulu Jasin ini bukan sahaja memendekkan masa perjalanan ke Pekan dan Tol Jasin, malah merancakkan aktiviti ekonomi setempat, sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Saya dimaklumkan bahawa laluan baharu ini mampu memendekkan tempoh perjalanan kepada kira-kira lima minit berbanding hampir 30 minit sebelum ini untuk ke Tol Jasin. Penjimatan masa ini pastinya memberi manfaat besar kepada penduduk setempat serta para pengguna jalan raya. Pembukaan jalan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri Melaka dalam memperkasa pembangunan infrastruktur demi kemudahan rakyat.

Ketua Menteri menyantuni pengguna jalan raya
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) atas komitmen dan kerjasama dalam merealisasikan projek ini,” ujar beliau.
-AA-





