Skip to main content
Berita TempatanSabah

Jelajah TVET Masuk Kampung Dedah Laluan Kerjaya Pelajar

By 16 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Priscilla Walter/Jordan Jude Ellron (Keningau)

KENINGAU, 16 Feb (MalaysiaAktif) – Program Jelajah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Masuk Kampung Zon Keningau menjadi platform pendedahan awal kepada pelajar sekolah menengah mengenai laluan pendidikan dan kerjaya dalam bidang TVET.

Pembantu Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Sook, Jordan Jude Ellron berkata TVET merupakan laluan pendidikan strategik yang mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta memenuhi keperluan industri semasa.

Jordan merasmikan Program Jelajah Pendidikan dan TVET Masuk Kampung Zon Keningau di SMK Tulid, Keningau, yang menghimpunkan pelajar tingkatan empat dan lima sekitar daerah itu.

“Pelajar perlu memahami konsep dan peranan TVET dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi permintaan pasaran kerja. TVET bukan sahaja membuka peluang kerjaya yang luas, malah membantu pelajar membina masa depan yang lebih stabil dan mampan.

“Program ini diharap dapat merealisasikan hasrat kerajaan melahirkan pelajar berkualiti dan berkemahiran, serta menyokong ekonomi keluarga di komuniti luar bandar,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di SMK Tulid, di sini, Khamis.

Jordan menyampaikan sijil kepada Pengetua yang terlibat dalam program Jelajah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Masuk Kampung Zon Keningau di SMK Tulid, Keningau.

Program jelajah selama lima hari itu dianjurkan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia dengan kerjasama Institut Aminuddin Baki Cawangan Sabah melibatkan pelajar tingkatan empat dan lima dari beberapa sekolah sekitar Keningau termasuk SMK Gunsanad II, SMK Keningau II, SMK Sook serta SMK Tulid selaku tuan rumah.

Inisiatif berkenaan dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran dan minat pelajar terhadap bidang teknikal dan vokasional sebagai pilihan kerjaya masa hadapan, sekali gus menyokong agenda pembangunan modal insan berkemahiran di Sabah.

-RJ-

Tinggalkan komen anda