
Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin (Pekan)
PEKAN, 16 Feb (MalaysiaAktif) – Penduduk setempat bersama beberapa agensi kerajaan berganding bahu menjayakan program gotong-royong membersihkan Surau Pekan Baru atau lebih dikenali sebagai Surau Kampar yang terletak di tengah-tengah bandar Pekan, semalam.

Kehadiran anggota bomba memudahkan proses mencuci luaran surau
Program yang diadakan sempena menyambut kedatangan Ramadan itu mendapat kerjasama erat daripada Balai Bomba dan Penyelamat Pekan, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pekan serta Alam Flora Sdn Bhd.
Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk mencuci ruang solat, membersihkan longkang, memotong rumput, serta melupuskan barangan terpakai di persekitaran surau.
Pengerusi surau, Tengku Datuk Rohanim Tengku Abdul Hamid, berkata program berkenaan bukan sahaja bertujuan memastikan kebersihan dan keselesaan jemaah sepanjang Ramadan, malah menjadi platform merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat.

Barang-barang lama diangkut oleh pihak Alam Flora Sdn Bhd
“Surau ini merupakan antara surau lama di tengah bandar Pekan dan dikhabarkan telah wujud sejak 1912 serta mempunyai nilai sejarah tersendiri.
“Saya berharap dengan usaha berterusan seperti ini, kita dapat melihat surau ini kembali makmur dengan kehadiran jemaah yang lebih ramai, khususnya dalam kalangan anak-anak muda,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Aktif.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan berharap semangat gotong-royong serta keprihatinan terhadap institusi ibadah akan terus subur demi memastikan Surau Pekan Baru kekal sebagai pusat penyatuan ummah di daerah ini.
-AA-





