
Laporan/foto: Awangku Hamizan (Sarawak)
BELAGA, 16 Feb (MalaysiaAktif) – Pertandingan Mobile Legends: Bang Bang sempena Piala Ketua Polis Daerah Belaga mula berlangsung dari 14 hingga 15 Feb 2026 di Dewan Kpg Hijrah Belaga, menarik penyertaan 15 pasukan dari Belaga dan Sungai Asap. Hadiah keseluruhan berjumlah RM1,550.00.
Setiap pasukan terdiri daripada enam pemain termasuk seorang pengurus. Penganjur, Ain Gazzaz Othman, 39, berkata pertandingan ini bertujuan mendekatkan pihak polis dengan masyarakat, khususnya golongan belia, melalui pendekatan santai dan mesra.
“Melalui e-sukan, kita dapat menarik minat golongan muda untuk terlibat dalam aktiviti lebih berfaedah dan terkawal. Mobile Legends dipilih kerana ia popular dalam kalangan belia dan mudah diakses. Pertandingan ini juga membuka ruang interaksi langsung antara polis dan masyarakat, sekali gus membina kepercayaan serta kerjasama lebih erat,” katanya ketika ditemu bual.

Ain Gazzaz (kanan) memantau aksi pemain Mobile Legends sempena Piala Ketua Polis Daerah Belaga, bagi memastikan pertandingan berjalan lancar dan adil di Dewan Kpg Hijrah Belaga, kelmarin.
Beliau menambah, program berkenaan bukan sahaja memupuk semangat kesukanan, malah menggalakkan disiplin, kerjasama berpasukan dan perpaduan. Nilai persahabatan serta keharmonian yang terjalin diharap dapat diteruskan pada masa hadapan.
Seorang peserta, Mohd Hasdirul Dizam Kennedy, 30, berkata, “Kami telah bermain secara serius hampir dua tahun. Sepanjang tempoh tersebut, latihan dan permainan berkumpulan banyak membantu memperbaiki strategi dan komunikasi. E-sukan mampu membentuk disiplin, kerjasama dan fokus, serta menjadi aktiviti positif jika diurus dengan baik.”
Penganjuran pertandingan ini dilihat sebagai inisiatif positif mendekatkan institusi keselamatan dengan komuniti setempat, selaras matlamat memperkukuh hubungan strategik polis dan masyarakat. Sekiranya mendapat sambutan berterusan, acara seumpama ini berpotensi dijadikan program tahunan di Belaga.





