Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Perdana Menteri Jamin Percepat Pembinaan Tambah Baik Hospital Pontian

By 16 Februari 2026Februari 17th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Musliha Yusof (Pontian)/Unit Foto JAPEN

PONTIAN, 16 Feb (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan mempercepat kerja tambah baik Hospital Pontian demi keselesaan rakyat.

Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembesaran Hospital Daerah Pontian

Beliau berkata projek yang lewat atau berstatus sakit perlu disegerakan tanpa bergantung kepada lanjutan masa kerana hanya menambah beban kepada rakyat dan kerajaan.

“Teguran saya terhadap mana-mana projek infra yang lembap dan ‘sakit’ adalah berasas kerana rakyat menantikan penambahbaikan untuk dimanfaatkan mereka dan bukannya perlu menghadam seribu satu alasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembesaran Hospital Daerah Pontian sempena Karnival Rakyat MADANI yang diadakan sempena sambutan Tahun Baharu Cina, di sini semalam.

Kehadiran beliau disambut kira-kira 2,000 penduduk setempat yang memeriahkan karnival berkenaan serta mengambil peluang beramah mesra bersama pemimpin kerajaan.

Dalam ucapannya, Anwar menzahirkan penghargaan atas sambutan yang diberikan serta memberi jaminan projek pembesaran hospital itu akan disegerakan demi keselesaan rakyat.

Sementara itu, peniaga kek batik Noraini Hassan, 53, melahirkan rasa gembira kerana berpeluang bertemu pemimpin negara dan melihat sendiri Perdana Menteri dari dekat.

Orang ramai memenuhi khemah utama bagi menghadiri dan memeriahkan majlis

“Program sebegini amat baik kepada kami. Sebagai peniaga tempatan, ini peluang untuk saya memasarkan produk tempatan, lebih-lebih lagi menjelang sambutan Hari Raya. Kehadiran pemimpin tertinggi kerajaan amat bermakna kerana ia membuktikan pemimpin mengambil peduli tentang kesusahan rakyat. Terima kasih PMX kerana beliau sangat prihatin terhadap kesukaran rakyat hari ini,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Tsen Hock Chit, 70, berkata beliau berbangga dapat menyertai pameran kereta bagi memeriahkan program tersebut.

“Sebagai rakyat Pontian, saya amat berbangga dengan kepimpinan Kerajaan MADANI yang sentiasa berusaha memperkukuh nilai ringgit. Saya juga gembira apabila PMX sudi hadir ke sini untuk melihat sendiri keadaan daerah kecil ini yang masih memerlukan perubahan, termasuk pembinaan hospital yang lebih baik untuk kegunaan penduduk,” katanya.

Turut hadir Menteri Besar Johor Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

-AA-

Tinggalkan komen anda