
Laporan/foto: Rokayah Gobik (Sarawak)
NIAH, 17 Feb (MalaysiaAktif) – Projek pengubahsuaian dan penambahan Masjid Al-Jabbar Sepupuk Niah bernilai RM7 juta yang dilaksanakan oleh SBMJ Engineering Sdn. Bhd. dijangka siap dalam tempoh satu tahun.

Perasmian projek disempurnakan Rosey Yunus sebagai tanda bermulanya kerja pengubahsuaian dan penambahan masjid.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus berkata, projek yang melibatkan kerja pembesaran dan naik taraf bangunan masjid itu bermula hari ini dan dijadualkan siap pada 15 Februari 2027.
Menurut beliau, pelaksanaan projek berkenaan amat signifikan kerana ia merupakan kemudahan yang telah lama dinantikan oleh masyarakat setempat.

Sesi penerangan mengenai visi wajah baharu Masjid Al-Jabbar Sepupuk Niah disampaikan Arkitek Jeffery Phang bersama Perunding Inessa Farhana Jamil kepada Rosey Yunus.
“Pembinaan dan naik taraf masjid ini amat bermakna buat penduduk di kawasan Sepupuk Niah kerana ia bukan sahaja menambah keselesaan jemaah, malah memperkukuh fungsi masjid sebagai pusat kegiatan komuniti,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan tapak projek, semalam.
Selain pembinaan menara baharu, projek tersebut turut melibatkan pembinaan sebuah bangunan serbaguna bagi memenuhi keperluan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.

Simbolik penyerahan kontrak projek kepada Pengarah Urusan SMBJ Engineering Sdn Bhd selaku kontraktor utama yang diamanahkan, Kiu Kuong Kiet.
Beliau turut berharap agar kerjasama erat antara Jawatankuasa Masjid Al-Jabbar Sepupuk Niah dan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Niah (LAKIN) bersama pihak kontraktor dapat memastikan projek berjalan lancar serta disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Turut hadir Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Niah, Mohd Fazly Juna; Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Ustaz Abdullah Masaid; Pengerusi Masjid Al-Jabbar Niah, Yusoff Ahmad; Pengarah Urusan SBMJ Engineering Sdn. Bhd., Kiu Kuong Kiet; wakil perunding arkitek serta ketua-ketua kaum Batu Niah dan Sepupuk.
-RJ-





