
Laporan/Foto: Mc Denver L. Toni (Sipitang)
SIPITANG, 17 Feb (MalaysiaAktif) – Kerajaan akan terus memperkukuh pendidikan agama menerusi penyediaan kemudahan yang kondusif bagi menyokong aktiviti ilmu, pembentukan sahsiah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Ahli Parlimen Sipitang, Matbali Musah berkata, komitmen itu mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan rakyat menerima manfaat pembangunan secara inklusif.

Suasana majlis penyampaian sumbangan dan perasmian Dewan Terbuka Sekolah Agama Negeri Ulu Sipitang yang berlangsung penuh muhibah.
“Dewan terbuka ini bukan sekadar struktur fizikal, tetapi lambang komitmen dalam memperkukuh pendidikan agama serta menyediakan ruang selesa untuk aktiviti ilmu, sahsiah dan perpaduan.
“Saya yakin kemudahan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar, guru dan masyarakat setempat,” katanya ketika merasmikan Dewan Terbuka Sekolah Agama Negeri Ulu Sipitang (SAN) Ulu Sipitang, di sini, Ahad.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan wang tunai masing-masing berjumlah RM500 dan RM300 kepada 42 pengerusi masjid dan surau di Parlimen Sipitang serta Dewan Undangan Negeri Sindumin bagi menyokong pengurusan dan pelaksanaan aktiviti keagamaan komuniti.

Matbali Musah (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Jumat @ Jimijan Duraman pada majlis perasmian Dewan Terbuka Sekolah Agama Negeri Ulu Sipitang, Sipitang.
Sementara itu, Guru Besar SAN Ulu Sipitang, Awang Besar Omar berkata, sokongan berterusan kerajaan terhadap pembangunan pendidikan agama di kawasan itu diyakini mampu memberi impak positif kepada pembangunan modal insan.
“Kami amat menghargai sumbangan dan perhatian berterusan ini kerana ia membantu memperkukuh program pendidikan agama serta aktiviti pembelajaran pelajar di sekolah,” katanya.
-RJ-





