
Laporan/foto: Muhammad Fakhri/Muhammad Azran
MACHAP JAYA 18 Feb (MalaysiaAktif) – Penganjuran Program Ambang Tahun Baru Cina 2026 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya menjadi simbol penyatuan komuniti setempat yang hadir bukan sekadar untuk meraikan perayaan, malah mengukuhkan hubungan silaturahim serta semangat muhibah antara penduduk.

Orang ramai yang hadir memeriahkan Program Ambang Tahun Baru Cina 2026 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya.
Turut hadir Yang Di-Pertua Negeri Melaka Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam.
Program di Padang Sekolah Jenis Kebangsaan Machap Baru, kelmarin berlangsung meriah dengan kehadiran masyarakat berbilang kaum termasuk Melayu, Cina, India serta Orang Asli.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan merangkap ADUN Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem, masyarakat majmuk di Malaysia wajar diraikan melalui kepelbagaian budaya serta amalan toleransi yang menjadi tunjang keharmonian negara.

Ngwe Hee Sem ketika berucap.
“Sikap saling menghormati antara kaum telah banyak menyumbang kepada pembangunan pesat negara tanpa wujudnya prejudis yang boleh memecahbelahkan perpaduan.
“Tahun Baru Cina 2026 diibaratkan seperti kuda yang pantas dan lincah, membawa simbolik semangat baharu untuk masyarakat terus berusaha, bergerak maju serta berdaya saing dalam apa jua bidang,” ujarnya.
-RI





