
Laporan/foto: Nurizzati Hanis/Nur Afikah (LMS)
TAIPING, 20 Feb (MalaysiaAktif) – Peranan radio sebagai medium penyampaian maklumat dan hiburan terus diperkukuh menerusi penganjuran Karnival Satu Suara, Satu Jiwa sempena Sambutan Hari Radio Sedunia 2026 yang berlangsung di Dataran Warisan Taiping, di sini.

Gabungan 34 stesen radio RTM yang diwakili oleh 34 orang penyampai radio dari seluruh negara memeriahkan pentas Karnival Satu Suara, Satu Jiwa.
Program pada 13 Feb lalu itu menghimpunkan 34 stesen radio milik Radio Televisyen Malaysia (RTM) dari seluruh negara bagi mendekati komuniti secara terus.
Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik) Hamzah Ishak, berkata penganjuran karnival tersebut merupakan satu manifestasi gabungan tradisi penyiaran radio dengan inovasi digital masa kini.
“Pendekatan ini membuktikan radio tetap relevan melalui integrasi teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan analitik data.

Hamzah ketika ditemu bual.
“Ia membolehkan penyampaian maklumat menjadi lebih pantas, interaktif dan selari dengan perkembangan era digital,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis sambutan tersebut.
Karnival yang bermula seawal jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam itu menyediakan pelbagai pengisian utama termasuk rakaman Forum Perdana Ehwal Islam, siaran langsung Selamat Pagi Malaysia serta Konsert Hari Radio Sedunia 2026 sebagai acara kemuncak.
Pihak penganjur menjangkakan kehadiran sekitar 1,000 hingga 3,000 pengunjung yang terdiri daripada pendengar setia RTM, penggiat industri penyiaran, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) serta masyarakat setempat.
Turut hadir Pegawai Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) Mohd Nasrul Menhat dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Mohamed Akmal Dahalan.
-RI





