
Laporan/foto: Sumardi Sugiman/Muhamad Rizal Sabtu (Limbang)
LIMBANG, 23 Feb (MalaysiaAktif) – Bazar Ramadan Limbang 2026 membuka peluang ekonomi kepada peniaga tempatan menjelang Syawal di samping menjadi wadah memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum di daerah ini.

Perasmian Bazar Ramadan 2026 oleh Marie Cotilla @ Rozita Kulai menandakan pembukaan bazar sebagai platform ekonomi dan perpaduan komuniti setempat.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail dalam ucapannya yang dibacakan Timbalan Residen Limbang Marie Cotilla Louise @ Rozita Kulai berkata penganjuran bazar itu merupakan inisiatif signifikan dalam menyemarakkan penghayatan Ramadan di samping menjadi platform memperkukuh ukhuwah masyarakat serta merancakkan ekonomi setempat.
“Bazar ini bukan sekadar sebuah tapak perniagaan terurus dan kondusif yang menghimpunkan usahawan bagi merancakkan ekonomi setempat malahan berperanan sebagai platform sosial dan ekonomi yang penting bagi memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum menerusi interaksi sosial dalam suasana yang harmoni, selamat dan terurus.
“Program ini juga memberi peluang kepada peniaga kecil dan sederhana menjana pendapatan keluarga sepanjang Ramadan selain menyediakan bazar yang tersusun, bersih dan selamat kepada pengunjung” katanya pada majlis perasmian bazar berkenaan, di sini semalam.

Sumbangan daripada Baitulmal Bahagian Limbang dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) diserahkan kepada penerima bagi membantu golongan memerlukan.
Menurut Abdul Rahman, program itu turut mendidik pengunjung mengenai budaya Pesta Tanpa Sampah selaras usaha menjaga kelestarian alam sekitar.
Sementara itu, Pengerusi Pengelola Majlis Perasmian Bazar Ramadan 2026 Kr. Rahim Bujang berkata sumbangan RM50,000 daripada Abdul Rahman membantu menampung kos pengurusan dan pelaksanaan bazar tahun ini.
“Sumbangan ini mencerminkan komitmen berterusan beliau dalam menyokong usaha memperkasa ekonomi tempatan serta kesejahteraan masyarakat,” katanya.
-RJ-





