
Laporan/foto: Iswandi Kassim/Unit Media DUN Lingga (Sarawak)
SRI AMAN, 23 Feb (MalaysiaAktif) – Belia SABERKAS Cawangan Lingga menyemarakkan Ramadan dengan menyediakan dan mengagihkan 1,000 pek bubur lambuk kepada pengunjung di Bazar Ramadan Simanggang, di sini kelmarin.
Program kemasyarakatan itu dilaksanakan sepenuhnya oleh ahli belia bermula daripada penyediaan ramuan, memasak secara bergotong-royong sehingga edaran kepada pengunjung dan peniaga di tapak bazar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor berkata inisiatif golongan belia itu wajar dipuji kerana bukan sahaja menceriakan suasana Ramadan, malah mengukuhkan silaturahim dalam komuniti.
“Inisiatif seperti ini memperlihatkan semangat sukarelawan dan kebersamaan dalam kalangan belia. Ia mencerminkan nilai murni masyarakat yang mengamalkan budaya berkongsi rezeki,” katanya ketika hadir pada program tersebut.
Dayang Noorazah berkata penglibatan aktif generasi muda dalam program komuniti mampu melahirkan barisan pelapis kepimpinan yang bertanggungjawab dan prihatin terhadap keperluan masyarakat.
Program ini sekali gus membuktikan komitmen Belia SABERKAS Cawangan Lingga dalam memperkasakan peranan belia serta memupuk perpaduan masyarakat sepanjang Ramadan.
-RJ-





