
Laporan/foto: Victor Blasius (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 24 Feb (MalaysiaAktif) — Program Awal Kanak-kanak Transisi (PAKAT) oleh Kementerian Pendidikan (KPM) memberi pendedahan kepada ibu bapa mengenai perubahan dasar serta pendekatan baharu pembelajaran Tahun Satu yang bakal dilaksanakan kepada ibu bapa.
Melalui program tersebut, ibu bapa berpeluang memahami hala tuju Kurikulum Prasekolah 2026, termasuk aspek perkembangan kognitif, sahsiah dan kemahiran asas sebagai persediaan ke Tahun Satu.

Robin bersama anaknya ketika menghadiri Program PAKAT Kurikulum Prasekolah 2026 sebagai tanda sokongan terhadap pelaksanaan kurikulum baharu pendidikan awal kanak-kanak.
Salah seorang peserta, Robin Ukir, 41, berharap pelaksanaan kurikulum berkenaan disokong dengan kemudahan mencukupi serta pendekatan pembelajaran yang seimbang.
“Persediaan awal amat penting supaya anak-anak lebih yakin melangkah ke Tahun Satu. Program seperti ini membantu ibu bapa memahami hala tuju pendidikan negara.
“Saya berharap kurikulum baharu ini dapat membentuk anak saya menjadi lebih berdikari, yakin dan seimbang dari segi akademik, sahsiah serta kemahiran asas,” katanya ketika ditemui pada program tersebut, di sini, kelmarin.
Program PAKAT Kurikulum Prasekolah 2026 dan Kurikulum Prasekolah 2026 (Pendidikan Khas) itu berlangsung di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu, di sini Ahad lepas dan disertai kira-kira 250 ibu bapa.

Lenanal antara ibu bapa yang hadir memenuhi dewan bagi menyertai Program PAKAT Kurikulum Prasekolah 2026, sekali gus menunjukkan komitmen dalam menyokong perkembangan pendidikan anak-anak.
Sementara itu, ibu kepada murid berkeperluan khas, Lenanal Jeliging, 47, menyatakan sokongan terhadap inisiatif kerajaan yang turut memberi penekanan kepada pendidikan inklusif.
Menurutnya, kanak-kanak berkeperluan khas memerlukan pendekatan bersesuaian serta kesabaran dalam proses pembelajaran.
“Walaupun terdapat kelewatan berbanding kanak-kanak lain, dengan bimbingan yang betul mereka mampu memahami dan melaksanakan tugasan dengan baik. Penggunaan gajet secara terkawal juga membantu menarik minat anak saya untuk belajar.
“Saya bersyukur kerana kerajaan memberi perhatian terhadap pendidikan anak-anak istimewa,” ujarnya.
Selain memberi fokus kepada pelaksanaan Kurikulum Prasekolah 2026, program yang menghimpunkan warga pendidikan, ibu bapa dan komuniti setempat itu turut menekankan pembentukan sahsiah murid, inovasi pembelajaran serta peranan penting ibu bapa dalam menyokong perkembangan anak-anak secara holistik.
-RJ-





