
Laporan dan foto: Hisham Dzid/Mohd Faisal Mohd Yunus
KOTA KINABALU, 24 Feb (MalaysiaAktif) – Program Ukhuwah MADANI Ramadan terus menyemarakkan semangat kebersamaan apabila berjaya menghimpunkan komuniti setempat dalam satu inisiatif kemasyarakatan di Masjid Al-Muhajirin, Kampung Warisan, di sini kelmarin.
Menerusi program tersebut, sebanyak 3,000 pek bubur lambuk disediakan secara gotong-royong sebelum diagihkan kepada penduduk sekitar hasil kerjasama Pejabat Parlimen Sepanggar dan badan bukan kerajaan (NGO), Escot Academy.
Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud berkata penganjuran program seumpama itu mencerminkan nilai kebersamaan dan keprihatinan terhadap masyarakat di peringkat akar umbi.

Sumbangan bubur lambuk diagihkan kepada pelajar tahfiz di Masjid Al Muhajirin semasa Program Ukhuwah MADANI Ramadan berlangsung.
“Program ini bukan sekadar agihan makanan, tetapi menjadi simbol perpaduan, semangat gotong-royong dan ukhuwah dalam kalangan masyarakat setempat sepanjang Ramadan,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan inisiatif tersebut, termasuk jawatankuasa masjid, golongan belia dan sukarelawan yang berganding bahu memastikan kelancaran program.
Terdahulu, jelajah Program Ukhuwah MADANI Ramadan turut diadakan di Masjid Al-Ikhwan, Taman Kuala Menggatal sebagai sebahagian daripada usaha menyediakan dan mengagihkan bubur lambuk kepada komuniti setempat sepanjang bulan Ramadan.
Program tersebut sekali gus memperlihatkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memperkukuh jalinan silaturahim serta menyemarakkan penghayatan Ramadan dalam kalangan masyarakat.
-RJ-





