
Lappran/foto: Aini/KPDN Perlis
PADANG BESAR, 24 Feb (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis berjaya menggagalkan cubaan menyeludup minyak petrol di sempadan Padang Besar menerusi satu operasi penguatkuasaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, di sini semalam.

Penguat kuasa KPDN Perlis sedang memeriksa kenderaan yang disyaki.
Pengarahnya Rohaida Hassan dalam satu kenyataan berkata operasi melibatkan lapan orang anggota penguat kuasa itu telah menahan dua individu, menyita menyita tiga buah motokar bernombor pendaftaran tempatan yang telah diubah suai pada bahagian tangki dan merampas 300 liter minyak petrol.
“Tindakan kes ini merupakan hasil risikan yang telah dibuat selama dua minggu oleh anggota Penguat Kuasa KPDN Perlis,” katanya, semalam.
Katanya, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM762, manakala nilai rampasan bagi ketiga-tiga buah motokar dianggarkan berjumlah RM15,000 dengan rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM15,762.

Salah sebuah kenderaan yang diperiksa.
Rohaida berkata pihaknya sentiasa komited dan akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan berkaitan bagi mempergiat serta mempertingkatkan kawal seliaan dan operasi ke atas pengedaran barang-barang kawalan di seluruh negara.
“KPDN Perlis ingin memberi amaran keras dan menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyelewengan barang kawalan ini.
“Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613),” katanya.
-RI





