Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Peristiwa Bukit Kepong Inspirasi Kepimpinan Moden PDRM

By 24 Februari 2026Februari 25th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan (Muar)

MUAR, 24 Feb (MalaysiaAktif) – Keberanian luar biasa anggota polis dalam peristiwa Bukit Kepong bukan sekadar catatan sejarah yang terpahat dalam lipatan waktu, sebaliknya menjadi kompas moral yang terus memandu nilai, prinsip dan landskap kepimpinan moden Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahman Arsad berkata pengorbanan pejuang terdahulu dalam mempertahankan kedaulatan negara menjadi lambang jati diri yang perlu diterapkan dalam mendepani cabaran keselamatan masa kini yang semakin kompleks.

Tetamu kehormat yang hadir menziarah kubur pejuang Peristiwa Bukit Kepong

“Peristiwa Bukit Kepong adalah manifestasi keberanian luar biasa anggota dan ahli keluarga mereka. Ia menjadi panduan utama buat kami dalam memastikan kedaulatan negara terus terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Memperingati Peristiwa Bukit Kepong sempena Sambutan Hari Polis Ke-219 di Galeri Darurat Bukit Kepong, di sini semalam.

Menurutnya, ancaman keselamatan hari ini tidak lagi terhad kepada bentuk fizikal semata-mata, sebaliknya berkembang merangkumi ancaman digital yang merentasi sempadan, termasuk jenayah siber dan penyebaran ideologi radikal.

“Jika dahulu ancaman bersifat bersenjata, kini ia berkembang kepada ekstremisme melalui medium digital serta jaringan jenayah terancang yang lebih berstruktur,” katanya.

Justeru beliau berkata keamanan negara hari ini menuntut sinergi antara PDRM, komuniti dan pelbagai agensi melalui pendekatan kepolisan berteraskan komuniti yang akan terus diperkukuhkan.

Dalam pada itu, cucu kepada pejuang Bukit Kepong, Allahyarham Koperal Mohd Yassin Wahab iaitu Ahmad Amryn Abd Malik, 51, menzahirkan rasa terharu atas penghargaan berterusan daripada PDRM terhadap waris pejuang.

Ketua Polis Johor menyantuni serta menyampaikan sumbangan kepada waris-waris Pejuang Bukit Kepong.

“Walaupun sambutan tahun ini diadakan secara sederhana memandangkan kita berada dalam bulan Ramadan, kami sangat menghargai ingatan pihak PDRM yang saban tahun meraikan kami.

“Harapan saya agar tradisi memperingati pejuang ini diteruskan demi generasi akan datang,” ujarnya.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Johor Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat dan Pegawai Daerah Muar Zainal Eran.

-RI

Tinggalkan komen anda