
Laporan/foto: Shah Hood/Hazrol Zainal, BERNAMA
JOHOR BAHRU, 26 Feb (MalaysiaAktif) – Keunikan deretan dulang berwarna-warni berisi nasi ambeng lengkap dengan lauk-pauk tradisi Jawa menarik perhatian pengunjung Bazar Ramadan Angsana yang mencari kelainan juadah berbuka puasa.
Konsep itu dipersembahkan Nasi Ambeng Wan Mahdam yang menyajikan nasi ambeng dalam dulang pelbagai reka bentuk bukan sekadar pembungkusan tetapi untuk mengembalikan cara asal menikmati hidangan berkenaan secara berkongsi.
Pemiliknya, Mohd Irwan Mahdam, 40, berkata konsep ini diperkenalkan dua tahun lepas selepas melihat nasi ambeng kurang diketengahkan di bazar Ramadan walaupun sinonim sebagai makanan tradisi masyarakat Johor.
“Kami mahu pengunjung bukan sekadar makan tetapi merasai pengalaman berkongsi hidangan seperti tradisi sebenar.
“Setiap dulang direka dengan teliti supaya sesuai untuk dimakan berkongsi. Ia bukan sekadar sajian tetapi satu pengalaman budaya yang kami ingin wariskan kepada generasi muda,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini baru-baru ini.
Menurut Mohd Irwan pendekatan ini bukan sahaja membezakan menu mereka di bazar malah memberi peluang kepada pengunjung merasai pengalaman tradisi berkongsi makanan bersama keluarga dan rakan.
-RI






