
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 27 Feb (MalaysiaAktif) – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Inisiatif Jelajah Khas Borneo bakal memperkasakan pembangunan belia dan sukan terutamanya di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol berkata beliau sendiri akan mengetuai pasukan KBS itu untuk turun menjelajah Sabah, Sarawak dan Labuan.

Mordi (tengah) akan mengetuai sendiri inisiatif jelajah khas di Borneo
“Inisiatif ini diadakan untuk menyampaikan perkhidmatan kerajaan kepada golongan sasar secara terus dengan mengurangkan kerenah birokrasi dengan hasrat menyantuni segenap masyarakat terutamanya pemegang taruh belia dan sukan.
“KBS juga bakal menjalinkan kerjasama strategik bersama kementerian, jabatan dan agensi lain bagi memastikan usaha ini betul-betul memberikan manfaat dan kebaikan kepada komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Sesi Dialog Bersama Pemegang Taruh Belia dan Sukan Labuan di sini, hari ini.
Beliau dalam pada itu turut menyeru semua pihak memanfaatkan segala kemudahan dan bantuan yang disediakan kerajaan untuk pertubuhan sukan dan belia.
“Gunakanlah peluang yang ditawarkan KBS sebaik mungkin seperti Dana Sukan Komuniti (DSK), Geran Padanan Sukan (GPS) dan Dana Rakan Muda, Dana Antarabangsa Belia (IYF@KBS) untuk menyertai mesyuarat, forum, persidangan dan seumpamanya di peringkat antarabangsa.
“Kita akan berikhtiar sebaik mungkin agar tiada yang tertinggal, tiada yang terpinggir demi Malaysia tercinta,” katanya.
-AA-





