
Laporan/foto: Anuar Che Amat
ARAU, 28 Feb (MalaysiaAktif) – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Perlis telah melaksanakan Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran (VFNW) sempena Bulan Ramadan 2026 dengan kerjasama kerajaan negeri, Majlis Perbandaran Kangar, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan E-Idaman Sdn. Bhd. bertempat di Bazar Ramadan Arau, semalam.

Penyerahan apron turut di adakan kepada para peniaga di Pasar Ramadan Arau
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Khalid Mohamed, antara pengisian utama program ialah promosi kempen VFNW melalui pengedaran plat Hargai Makanan dan apron kempen kepada semua peniaga bazar Ramadan.
Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kesedaran peniaga dan pengunjung agar mengelakkan pembaziran makanan ketika penyediaan juadah berbuka puasa, berbelanja mengikut keperluan di bazar Ramadan serta mengamalkan kesederhanaan dalam penyediaan hidangan.
“Selain itu, SWCorp dengan kerjasama rakan strategik E-Idaman Sdn. Bhd. turut mengedarkan sebanyak 300 pek bubur lambuk kepada peniaga dan pengunjung bazar,” katanya.
Dalam pada itu, SWCorp turut melaksanakan Program Sumbangan Pakaian dan Barang Terpakai sempena Aidilfitri kepada golongan sasaran yang memerlukan, selain mengadakan sesi libat urus berkaitan penguatkuasaan kesalahan pembuangan sampah kecil di tempat awam kepada peniaga dan pengunjung bazar Ramadan.
Kempen ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDG) 12.3, iaitu sasaran pengurangan separuh sisa makanan global per kapita menjelang tahun 2030.
-AA-





