Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Fenomena Sakura Kedah Warnai Alor Setar

By 1 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zulkarnain Rodzi (Kedah)

ALOR SETAR, 1 Mac (MalaysiaAktif) – Fenomena bunga Tecoma yang mekar serentak setiap musim panas sekitar Februari hingga Mac terus menjadi tarikan utama di Alor Setar apabila deretan pokok Tabebuia Rosea menghiasi beberapa laluan utama bandar, menarik penduduk tempatan dan pelancong serta merancakkan sektor pelancongan.

Fenomena bermusim yang dikenali sebagai Sakura Kedah berlaku ketika cuaca panas dan kering, yang merangsang pembungaan besar-besaran.

Fenomena bunga Tecoma yang mekar serentak setiap kali musim panas sekitar Februari hingga Mac

Bunganya yang berwarna merah jambu lembut dan putih gugur membentuk hamparan seperti permaidani, menjadikan suasana bandar ceria dan romantik.

Bunga Tecoma yang berasal dari kawasan tropika dan subtropika tumbuh sederhana tinggi dengan kanopi rendang menjadikannya sesuai ditanam dalam landskap bandar, khususnya di lokasi tumpuan seperti Jalan Langgar, Jalan Sultan Badlishah, Jalan Stadium dan Jalan Kuala Kedah.

Salah seorang pengunjung, Nur Adilah Yaakob, 31, berkata fenomena itu memberi peluang kepada orang ramai untuk merakam gambar dan meluangkan masa bersama keluarga.

“Setiap tahun kami menunggu saat bunga ini mekar. Suasananya sangat cantik dan tidak perlu ke luar negara untuk merasai pengalaman seperti melihat sakura,” katanya ketika ditemui di sini.

Kehadiran pengunjung bukan sahaja memberi limpahan ekonomi kepada peniaga kecil seperti gerai makanan, minuman dan perkhidmatan fotografi, malah turut memupuk rasa bangga dalam kalangan penduduk tempatan terhadap keunikan dan daya tarikan bandar.

Pemerhati landskap tempatan menegaskan usaha penanaman dan penyelenggaraan pokok bunga Tecoma secara konsisten mampu mengekalkan fenomena ini sebagai produk pelancongan bermusim yang signifikan.

-AA-

Tinggalkan komen anda