
Laporan/foto: Regina Lasia (Telang Usan)
LONG LAMA, 1 Mac (MalaysiaAktif) – Majlis Penyerahan Sijil Lantikan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Telang Usan 2026 berlangsung di Dewan SJK(C) Kee Tee, Long Lama dengan kehadiran kira-kira 400 orang kelmarin.
Program anjuran Pejabat Daerah Telang Usan menghimpunkan pemimpin masyarakat, ketua kaum, wakil jabatan kerajaan serta penduduk setempat sebagai platform pertemuan dan perbincangan dua hala antara kerajaan dan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dato Dennis Ngau menyeru semua Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum agar melaksanakan amanah dengan penuh integriti dan keikhlasan.

Gerawat Gala berucap ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Sijil Pelantikan KMKK Daerah Telang Usan 2026.
Beliau mengibaratkan pemimpin seperti pokok besar yang mempunyai akar yang kuat, dengan integriti, kejujuran dan keikhlasan sebagai asas teras.
Dennis menegaskan perpaduan dan kepimpinan berteraskan nilai murni adalah asas penting untuk memastikan pembangunan dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan di Telang Usan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap ADUN Mulu Datuk Gerawat Gala menekankan kepentingan Program Randau Pembangunan sebagai medium komunikasi berkesan antara kerajaan dan rakyat.
Beliau berkata pelantikan KMKK bukan sekadar pengiktirafan, tetapi amanah besar untuk terus menjadi jambatan antara rakyat dan kerajaan.
Gerawat turut menyifatkan KMKK sebagai tulang belakang pentadbiran di peringkat akar umbi yang berperanan penting dalam menjaga keharmonian komuniti, menyelesaikan isu setempat serta memastikan kelancaran pelaksanaan program dan inisiatif pembangunan.

Tetamu jemputan hadir pada Majlis Penyerahan Pelantikan KMKK termasuk wakil Pejabat Residen Bahagian Miri, Pegawai Daerah Telang Usan dan Beluru, serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum dari Bahagian Miri di Dewan SJK(C) Kee Tee, Long Lama.
Program Randau Pembangunan Siri 3 mencerminkan komitmen kerajaan memperkasa kepimpinan masyarakat serta memperkukuh kerjasama antara kerajaan dan rakyat ke arah pembangunan mampan di Telang Usan.
Turut hadir wakil Pejabat Residen Bahagian Miri Serbillah Dahlan, Pegawai Daerah Telang Usan Ezra Uda, Pegawai Daerah Beluru Charles Aloysius Lisu, Ketua Masyarakat Kaum Kayan Bahagian Miri Temenggong Elizabeth Deng dan Ketua Masyarakat Kaum Kenyah Bahagian Miri Temenggong Joseph Ngau Lian.
-RJ-





