
Laporan/foto: Nuzuluddin Abdul Razak (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 2 Mac (MalaysiaAktif) – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sabah memanfaatkan solat sunat tarawih sebagai platform meningkatkan kesedaran masyarakat untuk menderma darah menerusi Kempen Derma Darah Bergerak di masjid sekitar bandar raya ini sepanjang Ramadan.
Kempen tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Tabung Darah Hospital Queen Elizabeth bagi membuka kaunter derma darah di beberapa masjid terpilih.

Antara jemaah masjid yang sedang mendaftar derma darah sebelum diperiksa tahap kesihatan dan dibenarkan menderma darah.
Penolong Pegawai YADIM Sabah, Nur Salhasrah Rahman berkata kempen itu dilaksanakan setiap tahun dengan memberi tumpuan kepada jemaah tarawih yang berkelayakan untuk menderma darah selepas mendapat saringan pihak kesihatan.
“Pertamanya kempen derma darah ini memang dilaksanakan setiap tahun di masjid sekitar Kota Kinabalu dan kami fokus kepada jemaah yang menunaikan solat tarawih, di mana mereka boleh terus menderma darah di masjid jika diluluskan oleh pihak kesihatan.
“Dari segi publisiti, masyarakat boleh mengikuti perjalanan kempen ini di media sosial rasmi YADIM Sabah atau BloodBank Kota Kinabalu setiap hari di masjid sekitar bandar raya ini,” katanya ketika ditemui pada Kempen Derma Darah di Masjid Negeri Sabah, di sini pada Jumaat.
Beliau berkata pihaknya komited meneruskan kempen berkenaan pada setiap hari bekerja bagi membantu meningkatkan simpanan bekalan darah di Sabah.
“Kami juga menggalakkan masyarakat untuk singgah ke masjid yang kami kunjungi dalam tempoh seminggu pada hari bekerja.
“Kempen ini telah dimulakan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi dan pada lokasi pertama tahun ini di Desa Kastam, kami berjaya mengumpul 30 beg darah dengan sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai,” ujarnya.
-RJ-





