
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Hendry Nurdin (Tawau)
TAWAU, 2 Mac (MalaysiaAktif) – Peningkatan fasiliti termasuk kemudahan Computed Tomography Scan (CT Scan) dan teknologi Multi Detector Computed Tomography (MDCT) di Hospital Tawau dijangka menambah baik mutu perkhidmatan kesihatan khususnya di Pantai Timur Sabah.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Kukusan, Datuk Rina Jainal berkata penambahbaikan utiliti tersebut selari usaha kerajaan negeri memperkasa sistem kesihatan awam.

Rina Jainal ditemui pemberita selepas menyertai Program Singgah Sahur di Hospital Tawau yang menyantuni pesakit, waris dan kakitangan hospital di Tawau, semalam.
“Peningkatan fasiliti ini selari dengan usaha kerajaan negeri dalam memperkasakan sistem kesihatan awam agar pesakit menerima perkhidmatan terbaik tanpa perlu mendapatkan rawatan di luar daerah.
“Kita bukan sahaja menyantuni pesakit dan kakitangan hospital, tetapi dalam masa sama turut berusaha meningkatkan mutu serta tahap kualiti utiliti yang disediakan termasuk kemudahan CT Scan dan teknologi MDCT,” katanya ketika ditemui pada Program Singgah Sahur di Hospital Tawau, di sini pada Ahad.
Program anjuran bersama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIPS) itu menyantuni kira-kira 400 pesakit, waris dan kakitangan hospital serta 200 pelajar jururawat.
Beliau berkata program Singgah Sahur tersebut dilaksanakan khusus di Hospital Tawau manakala rakan strategik seperti YaPEIM dan PERKIPS turut menganjurkan majlis berbuka puasa di beberapa lokasi lain.
“Dalam bulan yang penuh keberkatan ini, kita doakan semua pesakit dan keluarga yang diuji dengan musibah diberikan kesabaran serta menjadikan setiap dugaan sebagai hikmah untuk terus kuat menjalani kehidupan,” ujarnya.
-RJ-





