
Laporan/foto: Shahiran Jamiludin (Muallim)
TANJUNG MALIM, 2 Mac (MalaysiaAktif) – Pejabat Pentadbiran Agama Islam Daerah (PAID) Muallim melakar sejarah baharu melalui penganjuran Program Ihya’ Ramadan 2026 dan Pelancaran Khatam Al-Quran Perdana yang memfokuskan sepenuhnya kepada komuniti Orang Asli di daerah ini.

Penduduk setempat turut terlibat dengan program khatam al-Quran.
Program yang berlangsung bermula 24 Februari hingga 13 Mac depan itu merupakan inisiatif menyeluruh melibatkan sembilan buah perkampungan Orang Asli.
Pegawai Tadbir Agama Daerah Muallim Muhammad Nurfadzli Anuar, berkata pendekatan yang digunakan bukan sekadar bersifat programatik, malah berteraskan hikmah dan kasih sayang bagi memastikan komuniti tersebut merasa dihargai dan tidak terpinggir daripada arus perdana.
“Antara pengisian utama di setiap lokasi termasuklah aktiviti Ziarah Kasih, ibadah secara berjemaah serta sesi tazkirah rohani bagi meningkatkan kefahaman agama dalam kalangan penduduk,” ujarnya ketika ditemui, di sini kelmarin.

Antara juadah untuk dinikmati bersama-sama penduduk setempat.
Tambahnya lagi, usaha ini dirangka secara strategik untuk memperkasa penghayatan Ramadan menerusi pendekatan sentuhan hati ke hati serta pengisian kerohanian yang mendalam.
-RI





