
Laporan/foto: Mohd Hairie Izwan/Maherah Marina Mahusin (Terengganu)
KUALA NERUS, 2 Mac (MalaysiaAktif) – Jualan ikan segar secara terus daripada nelayan kepada pembeli di Pengkalan Nelayan Kubang Badak, di sini menerima sambutan hangat daripada penduduk setempat.
Seawal 9 pagi, suasana di jeti mula meriah apabila bot-bot nelayan mendarat membawa hasil tangkapan segar dari laut seperti kembung, selar, tongkol dan tenggiri, sotong dijual terus kepada orang ramai tanpa melalui orang tengah.

Saufi Rani menjual terus hasil tangkapan laut kepada penduduk setempat.
Nelayan Saufi Rani, 39, berkata pendekatan jualan terus ini memberi peluang kepada pembeli mendapatkan hasil laut yang lebih segar pada harga berpatutan.
“Pembeli boleh terus memilih ikan yang baru dinaikkan dari bot. Selain lebih segar, harga juga lebih rendah kerana tiada kos orang tengah,” katanya ketika ditemui di pengkalan berkenaan.
Pelanggan tetap, Ahmad Ayub Ahmad, 64, berkata beliau lebih gemar membeli ikan di pengkalan kerana yakin dengan kualiti dan kesegaran yang ditawarkan.

Ahmad Ayub, sedang memilh hasil tangkapan laut segar yang dijual oleh nelayan tempatan.
“Kalau datang awal, banyak pilihan. Ikan masih baru dan segar. Kaedah ini bukan sahaja memberi kelebihan kepada pengguna, malah membantu nelayan tempatan meningkatkan pendapatan harian mereka,” ujarnya.
Pendekatan jualan terus ini dilihat bukan sahaja memberi manfaat ekonomi kepada nelayan, malah mengeratkan hubungan antara komuniti dan golongan nelayan di kawasan berkenaan.
Inisiatif ini sekali gus membuktikan bahawa sokongan masyarakat setempat mampu memperkukuh ekosistem ekonomi pesisir secara mampan dan berterusan.
-RI





