Skip to main content
Berita TempatanRencana & PendapatSarawak

Makam Pengiran Kesuma Yuda Lambang Sejarah Brunei, Sarawak

By 2 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Firdaus Hadi/Mohd Azizi (Simunjan)

GEDONG, 2 Mac (MalaysiaAktif) – Makam Pengiran Kesuma Yuda di Kampung Gumpey menjadi saksi sejarah hubungan erat antara Brunei dan Sarawak pada abad ke-19 ketika Sungai Batang Sadong berperanan sebagai sempadan pentadbiran kedua-dua wilayah.

Makam tersebut milik Pengiran Sharifuddin Pengiran Indera Mahkota Pengiran Sulaiman, cucu Raja Bendahara Brunei, yang dihantar oleh kerajaan Brunei untuk mentadbir Kampung Gumpey dan kawasan sekitarnya.

Beliau mangkat pada 1832 dan dikenang sebagai tokoh pentadbiran berpengaruh pada zamannya.

Sejarah lisan menceritakan bahawa penempatan asal Kampung Gumpey terletak di Lubuk Sejaie sebelum berpindah akibat ancaman lanun, termasuk pemindahan makam ke Munggu Sebejit yang lebih selamat dan strategik.

Keunikan makam ini terserlah melalui batu nisan yang diukir dengan tulisan Jawi lama dalam bahasa Melayu klasik serta memaparkan simbol Kesultanan Brunei.

“Makam ini dianggap sebagai makam diraja kerana salasilah Pengiran Kesuma Yuda berasal daripada keturunan Kesultanan Brunei dan mempunyai hubungan dengan Kesultanan Sambas,” kata Aman Akup, 66, penduduk Kampung Gumpey ketika ditemui Malaysia Aktif, baru-baru ini.

“Perjalanan ke makam mengambil masa kira-kira dua minit menaiki perahu yang dikendalikan penduduk tempatan dan memberi pengalaman warisan yang unik kepada pelawat,” kata pemandu perahu Hamden Jalihi, 48, ketika ditemui.

Kewujudan makam ini bukan sahaja memperkukuh identiti sejarah Kampung Gumpey tetapi juga berpotensi menjadi aset warisan yang bernilai untuk generasi akan datang serta rujukan penting memahami hubungan Brunei dan Sarawak.

-RJ-

Tinggalkan komen anda