
Laporan/foto: Connie Iee (Sarawak)
BAU, 3 Mac (MalaysiaAktif) – Keindahan kampung yang dikelilingi udara segar serta berlatarbelakangkan gunung menghijau menjadikan Get Inn Homestay antara destinasi pelancongan desa pilihan di Bau.

Pengusaha Get Inn Homestay Getin Egor ditemu bual penulis di inap desanya di Bau bagi berkongsi usaha tarik pelancong dan perkasakan ekonomi komuniti.
Terletak berhampiran Gunung Jagoi atau lebih dikenali sebagai Bung Jagoi, inap desa ini menawarkan suasana nyaman dan mendamaikan sesuai untuk pengunjung yang ingin berehat daripada kesibukan kota.
“Get Inn Homestay merupakan salah satu destinasi pelancongan desa bukan sahaja kepada penduduk tempatan, tetapi juga kepada pelancong dari luar kawasan Bau,” kata pengusaha Getin Egor, 55, yang ditemui di inap desanya semalam.
“Inap desa ini menjadi sumber ekonomi utama keluarga dan sering menerima kunjungan pelancong terutama pada hujung minggu serta musim cuti. Inap desa ini membantu mempromosikan budaya dan produk tempatan kepada pelawat luar,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini baru-baru ini.

Pelancong yang menginap di Get Inn Homestay dapat menikmati pelbagai kraftangan anyaman rotan tempatan sebagai tarikan desa.
Mengangkat konsep rumah kampung dengan sentuhan moden dan eksklusif, penginapan ini menyediakan kemudahan selesa untuk keluarga serta menjual kraf tangan anyaman rotan, air tuak tradisional masyarakat Dayak dan pakaian tradisional Bidayuh pada harga berpatutan.
Bagi pencinta alam dan pendaki, lokasi berhampiran Bung Jagoi memberi peluang menikmati keindahan semula jadi sekali gus membuktikan kepelbagaian usaha pelancongan desa mampu memperkukuh ekonomi dan kesejahteraan komuniti setempat.
-RJ-





