
Laporan/foto: Firdaus Hadi/Rick Anderson/Azrulnizam/Mohammad Firdaus (Sarawak)
SEBUYAU, 4 Mac (MalaysiaAktif) – Jeti Feri Sebuyau menjadi nadi perhubungan utama penduduk setempat yang bergantung kepada laluan air untuk urusan harian.
Setiap hari, feri di jeti berkenaan membawa motosikal, kereta dan lori kecil menyeberangi Sungai Batang Lupar bagi menghubungkan komuniti di kedua-dua tebing sungai ke tempat kerja, sekolah serta menjalankan perniagaan.
Penduduk Kampung Sebuyau, Sheril Azimah Pandi, 38, berkata kemudahan jeti tersebut banyak memudahkan kehidupan masyarakat setempat.
“Walaupun nampak sederhana, peranannya besar kerana memudahkan urusan kerja, persekolahan serta perniagaan kampung,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Selain menjadi penghubung penting, kawasan jeti itu turut menawarkan pemandangan sungai serta memperlihatkan kehidupan masyarakat luar bandar yang masih bergantung kepada pengangkutan air.
Penduduk berharap perkhidmatan feri berkenaan terus diperkasa melalui penambahbaikan aspek keselamatan, keselesaan dan kecekapan operasi bagi memastikan kelancaran urusan harian pengguna.
-RJ-





