
Laporan/foto: Daniel Jong/Budin Gumbang (Sarawak)
KAPIT, 7 Mac (MalaysiaAktif) – Projek pembinaan kemudahan pendaratan feri serta operasi feri 24 kenderaan di Nanga Tulie yang bernilai RM23.5 juta kini dalam fasa pelaksanaan sebagai usaha memperkukuh sistem perhubungan luar bandar di Bahagian Kapit.

Rimong Awal, berpendapat pelaksanaan projek feri itu akan memudahkan kehidupan seharian komuniti setempat.
Projek laluan kritikal tersebut dijangka menghubungkan sebanyak 33 rumah panjang di sekitar Pelagus dan Nanga Tulie dengan rangkaian jalan raya utama, sekali gus memberi manfaat kepada dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Encheremin dan SK Ulu Pelagus.
Penduduk tempatan, Rimong Awal, 61, menzahirkan keyakinan bahawa pelaksanaan projek feri berkenaan bakal membawa kemudahan kepada penduduk di kawasan tersebut.
“Saya yakin projek feri ini akan memudahkan kehidupan harian komuniti setempat kerana dapat memendekkan tempoh perjalanan.
“Selain itu, urusan ke pejabat atau membawa hasil tanaman untuk dijual di pekan juga akan menjadi lebih mudah,” katanya ketika ditemui MalaysiaAktif, semalam.
Sementara itu, Monica Bansa, 62, seorang suri rumah dari Rumah Rachman turut melahirkan rasa syukur dan optimis bahawa kemudahan feri tersebut bakal membuka peluang baharu kepada penduduk setempat.

Feri yang akan menjadi nadi perhubungan penduduk di sekitar Batang Rajang.
Menurutnya, apabila siap kelak, golongan wanita atau suri rumah berpeluang menjana pendapatan sampingan melalui perniagaan kecil-kecilan bagi memenuhi keperluan pengguna yang menggunakan kemudahan feri tersebut.
Selain itu, tambang perkhidmatan feri yang disediakan juga hanya dikenakan RM1 bagi setiap perjalanan bagi memastikan kemudahan tersebut mampu dimanfaatkan oleh penduduk setempat.
-RJ-





