
Laporan/Foto: Sumardi Sugiman / Muhamad Rizal Sabtu (Sarawak)
LIMBANG, 7 Mac (MalaysiaAktif) – Seramai 1,218 golongan memerlukan di Limbang menerima sumbangan menerusi Majlis Sejambak Kasih Raya 2026 hari ini, menjelang sambutan Aidilfitri.
Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah berkata program anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) dengan kerjasama Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Limbang itu mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, khususnya ketika musim perayaan.

Hasbi ketika berucap sekali gus merasmikan Majlis Sejambak Kasih Raya Bahagian Limbang Tahun 2026 di Dewan Kampung Bunga Raya.
Menurutnya, majlis tersebut turut menjadi platform meraikan klien jabatan supaya mereka dapat merasai kemeriahan Aidilfitri selain menerima sumbangan kewangan bagi membantu persediaan menyambut lebaran.
“Seramai 100 penerima dijemput menghadiri majlis hari ini, manakala selebihnya bantuan akan disalurkan terus melalui akaun bank,” katanya yang juga Timbalan Menteri Pengangkuta ketika berucap di Dewan Kampung Bunga Raya, di sini.
Setiap penerima turut menerima sumbangan tambahan berupa wang tunai RM100 serta hamper bernilai RM80 bagi meringankan beban dan menceriakan mereka sempena Aidilfitri.

Hasbi menyerahkan sumbangan wang tunai dan hamper kepada peserta Program Sejambak Kasih Raya 2026 di Limbang.
Hasbi turut memaklumkan setakat ini Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Limbang telah menyalurkan bantuan Persekutuan berjumlah RM4,320,900 dan bantuan negeri sebanyak RM400,400 kepada 3,185 penerima di daerah Limbang dan Lawas.
“Bantuan ini amat bermakna kepada mereka yang memerlukan dan diharap dapat menceriakan golongan sasar dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri,” ujarnya.
-RJ-





