Skip to main content
Berita TempatanSabah

Sipitang Free Market 2026 Bantu Ringankan Beban Masyarakat

By 7 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Suhaime Sahirul (Sipitang)

SIPITANG, 7 Mac (MalaysiaAktif) – Sipitang Free Market 2026 menjadi platform untuk orang ramai berkongsi barangan keperluan secara percuma kepada mereka yang memerlukan, semalam.

Mohd Alizam (empat dari kiri) bersama anggota Bahagian Penguatkuasa Majlis Daerah Sipitang (MDS) pada Program Sipitang Free Market 2026 di Dewan Serbaguna Pekan Sipitang.

Program dianjurkan Pejabat Bahagian Penguatkuasa Majlis Daerah Sipitang (MDS) itu menerima pelbagai sumbangan termasuk pakaian, buku, makanan dan peralatan elektrik daripada orang awam untuk disalurkan mengikut keperluan.

Wakil Bahagian Penguatkuasa MDS, Mohd Alizam Samat berkata program berkenaan sudah dilaksanakan sejak 2022 dan akan diteruskan bagi meringankan beban golongan kurang mampu.

“Idea penganjuran ini tercetus selepas pandemik COVID-19 sebagai usaha membantu golongan terkesan ketika itu dan inisiatif ini diteruskan sehingga kini.

“Sambutan daripada penyumbang dan orang awam yang hadir amat memberangsangkan tahun ini ” katanya ketika ditemui di Dewan Serbaguna Pekan Sipitang, Jumaat.

Beliau berkata tempoh kutipan sumbangan bagi program kali ini bermula 2 Feb hingga Khamis lepas dengan slogan ‘Kongsi Rezeki, Ringankan Beban’, dan program sama dirancang diteruskan pada bulan Jun nanti.

Mohd Asmirol antara penerima manfaat yang hadir mendapatkan barangan keperluan sempena Program Sipitang Free Market 2026, semalam.

Sementara itu, Mohd Asmirol Fauzan, 30, percaya program itu banyak membantu golongan memerlukan, terutama menjelang Ramadan dan Aidilfitri.

“Program seumpama ini wajar diteruskan kerana mampu membantu mereka yang memerlukan selain memberi peluang masyarakat berkongsi rezeki dan memupuk semangat prihatin.

“Penghargaan juga perlu diberikan kepada penyumbang kerana sumbangan mereka membantu orang lain sambil melakukan kebaikan pada bulan Ramadan,” ujarnya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda