
Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh (Tanah Merah)
PASIR MAS, 9 Mac (MalaysiaAktif) – Program Derma Darah Bulan Ramadan oleh Pusat Tabung Darah Hospital Raja Perempuan Zainab II dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid Mahmudi, kelmarin membantu menambah bekalan darah hospital serta menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan.

Dr.Norhaswani (kiri) bersama Pegawai Perhubungan Awam Tabung Darah HRPZ ll Siti Rowaida Mohd Nor melihat data dan rekod penderma darah.
Pegawai Perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II Dr. Norhaswani Mohammad berkata program berkenaan bertujuan menambah bekalan darah hospital yang semakin berkurangan terutama menjelang musim perayaan.
“Pada musim perayaan, ramai pulang ke kampung halaman dan risiko kemalangan jalan raya meningkat, sekali gus menyebabkan permintaan terhadap bekalan darah bertambah.
“Program ini membantu mengisi tabung darah hospital dan secara tidak langsung menyelamatkan nyawa pesakit,” katanya kepada Malaysia Aktif di perkarangan Masjid Mahmudi, Mukim Kangkong, di sini.

Imam Satu Masjid Mahmudi Mukim Kangkong menunjukkan isyarat bagus sebagai tanda berpuashati.
Beliau menambah bahawa bekalan darah amat penting bagi kegunaan pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan, justeru pihaknya sentiasa menjalankan kempen derma darah di pelbagai lokasi bagi menggalakkan orang ramai tampil menderma.
Sementara itu, Imam Satu Masjid Mahmudi Mukim Kangkong Zulfili Yahya berkata sambutan masyarakat terhadap program berkenaan amat menggalakkan selepas hebahan dibuat beberapa minggu sebelum Ramadan.
Pada program tersebut, seramai 30 orang berjaya menderma darah sekali gus mencapai sasaran yang ditetapkan oleh pihak penganjur.
-RI





